CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

sembang-sembang

Wednesday, January 13, 2010

2 penjenayah mati ditembak

Anggota polis forensik memeriksa tempat kejadian dua
penjenayah di tembak mati oleh polis dalam kejadian awal
pagi semalam di Perdana Heights, Shah Alam.

SHAH ALAM 12 Jan. - Selepas menembak mati dua penjenayah Geng Roy termasuk ketuanya tahun lalu, polis yakin telah melumpuhkan kegiatan kumpulan samun itu apabila dua lagi ahlinya mati ditembak di Puncak Perdana di sini hari ini.

Seorang daripadanya dikenali sebagai Don, 30, adalah adik ketua geng itu, Roy, yang ditembak mati di Kayangan Heights di sini Ogos lalu.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi ini, Don dan seorang lagi anggota Geng Roy, Ferdi, 20, ditembak mati di kawasan tangki simpanan air Puncak Perdana selepas kedua-duanya cuba menyerang polis menggunakan parang.

Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pergerakan penjenayah itu dikesan apabila orang awam ternampak mereka cuba membuka pintu pagar sebuah rumah di kawasan Perdana Heights dan segera menghubungi polis pada pukul 2.45 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dikejarkan ke kawasan tangki air di situ kerana lokasi itu dikatakan dijadikan transit penjenayah terbabit selepas melakukan kegiatan pecah rumah dan samun.

"Setibanya di tangki air itu, kita temui sebuah motosikal. Tiba-tiba, muncul dua lelaki yang enggan menyerah diri apabila diarah berbuat demikian sebaliknya menyerang polis dengan dua bilah parang.

"Tindakan agresif itu menyebabkan polis tiada pilihan selain terpaksa melepaskan tembakan mempertahankan diri dan ia mengenai kedua-dua suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Pada 21 Ogos tahun lalu, polis menembak mati ketua kumpulan Geng Roy dan penolongnya, tidak sampai dua jam selepas mereka menyamun sebuah rumah di Kota Kemuning sehingga menyebabkan seorang warga emas maut.

Kedua-dua mereka ditembak di Jalan Merak Kesuma, Seksyen U9 dalam kejadian pukul 5 pagi.

Berikutan tumpasnya dua penjenayah itu, polis berjaya membongkar markas operasi geng terbabit apabila menemui pondok yang dijadikan pusat berkumpul bagi merancang kegiatan samun mereka.

Pondok kecil itu terletak di lokasi tersorok iaitu di dalam hutan berbukit di Kayangan Heights yang merupakan salah sebuah kawasan kediaman elit di bandar raya ini.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua penjenayah yang ditembak mati hari ini tiada dokumen pengenalan diri selain terlibat dalam 17 kes pecah rumah dan samun di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

Katanya, motosikal yang ditemui itu juga dicuri malah kedua-dua suspek dikatakan pernah mencederakan mangsa dalam sesetengah kes jenayah yang dilakukan.

Beliau menambah, polis turut merampas beberapa peralatan digunakan dalam kegiatan jenayah antaranya dua bilah parang, penutup muka, pemutar skru selain sejumlah wang dan telefon bimbit.

0 comments: